Monday, February 22, 2010

MyWords | Adooii.

Aduh. Buhsan betul aku bila asyik cuti memanjang nih. Aku dah la tak semangat nak keje tahun nih. Baru enjin nak panas cuti pulak. Kalau sehari dua takpe gak. Ini dibantainya seminggu. Aduh senak dah kepala aku nih asyik tidur je. Nasib baik juga manusia dah mencipta satu bentuk hiburan yang dipanggil pawagam atau nama panjangnya panggung wayang gambar. Dapat la aku menonton filem2 terbaru bila cuti nih. Walaupun begitu, aku tetap mengamalkan polisi tidak bekerja dalam cuti. Sedangkan punya banyak keje yang melambak2 yang menjerit2 minta disiapkan. Tapi takpe..akan aku lunaskan sedikit demi sedikit bak kata orang tua-tua. Sikit2 lama2 jadi bukit.

Dalam cuti ni kebanyakan masa aku dihabiskan di kampung. Rumah abah dan mak. Kebetulan pula cuti panjang sempena tahun baru cina ni, puak2 KL nun balik semua. Leh la lepak sama2 melihat kerenah anak2 sedara aku yang macam2 perangainya. Paling penting, semuanya ganas2 belaka. Tak kira laki pompuan. Yang laki pandai tumbuk yang pompuan pandai sepak. Yang laki pandai tolak yang pompuan pandai tarik rambut. Persamaannya dua2 laki pompuan pandai menangis bila kalah. Hehe. Maksudnya kalo sume menangis, menempek la kitorg mendengar irama dan melodi yg merdu sekali. Tapi senang je nak bagi diam. Yang lelaki pergi masuk bilik adik main game. Yang pompuan bawak je pergi keluar. Terus diam.

Dalam cuti ni jugak, umah mak dan abah dah beberapa minggu direnovate. Dapur dan ruang tandas diupgrade supaya mencapai standard negara2 maju. Senang la kalo presiden mana2 negara nak dtg. Tapi agak mencabar jugak bila bilik mandi, toilet dan dapur direnovate. Tak selesa sungguh. Camne nak mandi bila bumbung bilik air takde. Camne nak buang air bila pintu tandas takde. Macam rancangan Bersamamu pun ada gak. Sib baik waktu malam takde binatang ataupun makhluk yg terbang melayang, kalo tak gabra jugak. Tapi nak komplen lebih pun takleh. Nak umah lawa kena la korban sikit. Itupun aku baru duduk kejap. Mak n abah duduk situ hari2. Ok je. Takde komplen pun. Maaf Tuan!

Friday, February 05, 2010

MyWords | Wasiat



SOALAN
: Setiap kali saya membuka e-mel, kerap kali saya menerima e-mel yang di-forward-kan. Pada suatu hari, saya menerima satu e-mel yang mendakwa isinya merupakan wasiat daripada seorang penjaga makam Rasulullah SAW bernama Sheikh Ahmad. Pada penghujung e-mel, dituliskan kelebihan dan mudarat yang bakal menimpa seandainya e-mel tersebut tidak di-forward-kan. Bagaimana pandangan Islam dalam hal sebegini? Adakah boleh di-forward-kan e-mel tersebut?

JAWAPAN : Sebenarnya, isu berkenaan e-mel yang didakwa merupakan wasiat daripada Sheikh Ahmad, penjaga makam Rasulullah SAW bukan suatu perkara yang baharu. Isu ini sebenarnya sudah muncul pada penghujung tahun 1970-an. Di dalam wasiat yang diedarkan itu, disertakan fadilat mengedarkan ‘wasiat’ tersebut dan juga implikasi buruk seandainya tidak berbuat demikian.

Untuk menjawab pertanyaan itu, saya ingin memetik naqal daripada seorang ulama moden kontemporari merangkap Mufti Qatar, Dr. Yusuf al-Qaradawi. Dalam mengulas hal ini, beliau berkata:
“Justeru, isi wasiat (wasiat Sheikh Ahmad) tersebut merupakan petanda yang memperlihatkan kebohongan dan kepalsuan wasiat tersebut. Sebabnya, pewasiat telah mengancam dan menakut-nakutkan orang yang tidak mahu menyebarluaskannya bahawa dia akan mendapat musibah dan kesusahan, anaknya akan mati, dan hartanya akan habis. Hal ini tidak pernah dikatakan oleh seorang manusia pun (yang normal fikirannya), terhadap kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Tidak ada perintah bahawa orang yang membaca al-Quran harus menulisnya setelah itu kemudian menyebarluaskannya kepada orang lain; dan jika tidak, akan terkena musibah. Begitu pula tidak ada perintah bahawa orang yang membaca Sahih Bukhari harus menulisnya dan menyebarluaskannya kepada khalayak ramai, sebab kalau tidak, akan tertimpa musibah.

“Kalau Al Qur'an dan Sunnah Rasul saja tidak begitu, maka bagaimana dengan wasiat yang penuh khurafat itu? Ini merupakan sesuatu yang tidak mungkin dibenarkan oleh akal orang Muslim yang memahami Islam dengan baik dan benar.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatwa-fatwa Kontemporari Jilid 1).

Lihat, sehingga Dr. Yusuf al-Qaradawi menghukum ‘wasiat’ itu sebagai suatu perkara khurafat. Tidak ketinggalan, Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 mengesahkan bahawa wasiat Sheikh Ahmad “menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW serta ajaran baginda kerana menggambarkan Sheikh Ahmad sebagai perawi hadith sesudah kewafatan baginda”.

Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978, mereka mengesahkan bahawa ‘wasiat’ tersebut sebenarnya ditulis oleh paderi-paderi biara di Blessings of St. Antonio, Texas, Amerika Syarikat pada tahun 1974-1975 dengan tujuan untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal ‘wasiat’ tersebut ialah mendiang Father Francis Jose de Villa. Antara bukti yang menunjukkan bahawa ‘wasiat’ tersebut ialah palsu ialah tidak ditemui nama Sheikh Ahmad dalam senarai penjaga makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah, antara 1881 sehingga 1979.

Dan sememangnya isu ‘wasiat’ ini memberi kesan, apabila pada tahun 1979, bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucapkan dua kalimah syahadah buat kali kedua di hadapan Kadi Daerah Kinta setelah beliau mengaku menerima ‘wasiat’ tersebut dan mengedarkannya kepada 20 orang sahabatnya.

Allahyarham Datuk Shafawi, Mufti Kerajaan Negeri Selangor, mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini (‘wasiat’ Sheikh Ahmad) adalah melakukan syirik dan tidak mustahil jatuh murtad (yakni keluar daripada Islam) melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya terhadap sesiapa yang telahpun dikirimkan risalah ini. (Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).

Sebab Majlis Fatwa Kebangsaan menghukum mengedarkan ‘wasiat’ ini sebagai syirik ialah seseorang yang mengedarkannya percaya bahawa ‘wasiat’ tersebut berupaya memberikan manfaat jika disebarkan atau menimpakan kemudaratan ke atasnya jika tidak, dan hal ini jelas sekali bertentangan dengan prinsip “tiada lain yang berhak disembah dan diminta pertolongan melainkan Allah SWT”. Firman Allah SWT (maksudnya) :

“Engkau sahajalah (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah ayat 5).

Maka jelaslah kepada kita bahawa mengedarkan ‘wasiat’ tersebut merupakan suatu perbuatan syirik dan harus dijauhi. Dan, hal ini juga perlu menjadi iktibar kepada kita agar berhati-hati dalam mengedarkan apa-apa sahaja yang kita terima, supaya isu seperti isu ‘wasiat’ Sheikh Ahmad dan juga isu panggilan nombor berwarna merah (yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu) tidak berulang sekali lagi.

Allah Lebih Mengetahui.